Rahsiawebsite.com

5 Mitos Tentang Website

Banyak perniagaan "meleburkan" masa, wang dan tenaga dalam pembinaan website hanya kerana mereka tidak boleh membezakan realiti dan mitos tentang website.

Artikel ini akan cuba mengetengahkan 5 mitos yang menjadi kepercayaan ramai daripada kita tentang website.

Mitos 1: Bina dan pengguna akan datang berkumpul

Dengan mempunyai website, kekayaan akan datang melimpah ruah. Anda akan bakal menjadi seorang lagi 'jutawan internet' dengan mudah kerana dengan adanya website ribuan malah jutaan pelanggan dapat diraih dengan mudah.

Realitinya, hanya dengan mempunyai website tidak akan menjamin kejayaan dan kekayaan sekiranya model perniagaan (business model) anda masih goyah dan pendekatan yang anda gunakan salah.

Website juga perlu dipromosi, apabila langkah ini gagal, maka jangan hairan jika website anda punyai hanya dua orang pelawat, anda dan isteri.

Mempunyai website yang popular dan mempunyai hits lawatan yang tinggi adalah usaha jangkamasa panjang. Anda perlu tahu strategi pemasaran website. Tetapi ingat; jangan cuba menipu - pengguna hari ini makin cerdik dengan helah SPAM, SCAM yang lazim dijalankan oleh ramai orang yang inginkan kejayaan segera.

Mitos 2: Sesiapa sahaja boleh bina website

Dengan perisian yang melambak dipasaran, adalah mudah untuk membina website.

Memang benar, sesiapa sahaja boleh menggunakan perisian yang melambak dipasaran. Tetapi katakuncinya disini ialah 'effektif'. Adakah anda boleh mengoptimumkan website anda itu ketahap efektif? Tahukah anda apa yang boleh membuatkannya efektif, dari segi pengguna, enjin carian, proses dan sebagainya?

Cabarannya di sini ialah, bagaimana untuk mencapai objektif perniagaan. Perisian dipasaran tidak membantu anda untuk mencapai objektif perniagaan anda, ianya tidak membantu anda merancang strategi, membuat keputusan. Inilah sebabnya anda perlukan orang yang berpengalaman untuk membantu anda menunjukkan jalan yang perlu dilalui.

Contohnya; anda boleh menggunakan perisian untuk membina drop-down menu pada website anda, tetapi adakah drop-down menu sesuai dengan kandungan anda?

Mitos 3: Buat sendiri dan jimatkan wang

Banyak syarikat menyangkakan dengan menggaji seorang pekerja untuk membina website, mereka boleh menjimatkan pelaburan website dalam jangkamasa panjang. Tetapi lazimnya, pekerja yang digaji ini masih hijau, tidak berpengalaman, dan mereka lebih menjurus kepada membina laman web tanpa mempunyai kemahiran tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dielakkan.

Mereka ini tidak dapat merangka strategi laman web dengan baik dan akhirnya, pelaburan itu, dalam jangkamasa panjang, tidak langsung dapat mengimbal pelaburan yang telah dikeluarkan.

Website itu gagal disukat kejayaannya, tiada skala sukatan, tiada kayu pengukur hanya yang ada 'syok sendiri' terhadap website sendiri.

Mitos 4: Website yang kelihatan hebat dengan animasi yang membuatkan mata terbonjol keluar adalah apa yang membuatkan website efektif

Ini mungkin apa yang perekabentuk tidak berpengalaman ingin anda fikirkan.

Realitinya, animasi dan segala fungsi yang diletakkan pada website tidak menjanjikan effectiveness sesebuah website. Apa yang piawai menjadi ukuran kejayaan sesebuah website ialah kejayaan pengguna dalam menggunakannya. Kejayaan sesuatu informasi disampaikan dan membuatkan pengguna berinteraksi dngannya.

Interaksi yang diharapkan oleh website perniagaan ialah pengguna mengambil aksi untuk membeli, interaksi bagi sesebuah website informasi ialah kefahaman yang pengguna dapat dari website tersebut.

Animasi, gambar dan sebagainya adalah cerita lama. Cerita ketika industri website masih baru. Cerita 8 tahun lepas. Kini pembina dan pengguna web lebih matang dan lebih fokus kepada UX - User Experience. Dengan pengalaman pengguna yang baik, motif sesebuah website lebih mudah dicapai.

Mitos 5: Copy & Paste sahaja kandungan, atau ceduk dari website lain.

Kandungan adalah nyawa website anda. Tanpa kandungan yang baik, website anda hampir tidak punyai harapan untuk berkembang. Dan mempunyai kandungan yang baik adalah usaha jangkamasa panjang.

Banyak website tidak mengendahkan kandungan. Banyak yang menyangkakan asalkan ada sahaja sudah mencukupi. Lebih teruk lagi yang sebiji-sebiji mengambil kandungan (copy & paste) dari website lain.

Realiti yang bakal anda hadapi mungkin lebih teruk, sekiranya kandungan c&p anda itu dikantoi dek Google. Google akan penalti kandungan c&p dan bagaimana google menjustifikasi siapa yang original dan siapa yang plagiat? Berdasarkan tarikh artikel, tarikh dokumen diupload, tarikh website/domain di daftarkan dan pelbagai ciri lain yang menjadi rahsia google. Sekiranya website anda dipenalti (bahkan mungkin disenarai hitam) maka besar kemungkinan website anda tidak akan dijumpai langsung oleh search engine.

Kandungan adalah tanggungjawab anda. Jadilah unik dan asli. Tak mengapa jika anda berinspirasikan kandungan website lain, tetapi olahlah sendiri kandungan website anda. Dan, tulis kandungan anda untuk web, bukan untuk dicetak atau pun skrip tcv dan sebagainya.

Dec 20, 2009
Category: Umum